my entry..

get this widget here

Monday, January 30, 2012

Kunci Kehidupan Kita Adalah Sabar

Sabar dalam konteks Islam adalah salah satu dari sifat mahmudah yang perlu dan mesti wujud dalam diri setiap umat manusia Nabi Muhammad S.A.W.  Ini kerana sifat sabar ini adalah perkara asas dalam akhlak agama Islam, bahkan ia juga ibu kepada segala akhlak di dunia.
Kesabaran ialah kunci kehidupan bagi seluruh makhluk alam ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa. Fikrah kesabaran boleh diambil i’brah sebagai contoh jika dibayangkan bumi ini bergerak dan berfungsi tanpa ada sifat kesabaran, dengan secara tiba-tiba malam bertukar kepada siang, dan sebaliknya, dan bayangkan tumbuhan yang tumbuh sekali gus tanpa menyempat, memang hancurlah bumi Allah ini tanpa hala tujuan dan tidakkah keadaan ini akan menjadi sukar?

Sebenarnya Allah hendak membuktikan setiap makhluk yang Allah ciptakan mempunyai sifat-sifat tersendiri yang boleh kita peroleh sebagai manfaat. Sifat ini juga dalam masa yang sama dapat mendidik ketaatan kita kepada Allah seperti ketika berlakunya sesuatu musibah atau ujian yang berat bagi kita, tanpa berdalih kita mesti berbalik kepada Allah yang mana setiap apa yang berlaku semuanya dari Allah Azza wa JallaSebagaimana firman Allah Taala di dalam Surah Ali Imran ayat 200 (terjemahannya) :

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetapkanlah bersiap-sedia (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah agar kamu beruntung.”

            Bersabar merupakan ciri orang-orang yang menghadapi pelbagai kesusahan dengan berlapang dada, kemahuan yang kuat serta cekal dan tabah menerima ujian dari Allah.  Jika kita tidak besabar, maka apa yang boleh kita lakukan? Adakah anda mempunyai penyelesaian lain selain bersabar apabila ditimpa musibah? Adakah anda mengetahui senjata lain yang dapat kita gunakan selain kesabaran?

Sahabat sekalian,

            Bersabarlah kerana Allah.  Dan sepatutnyan anda semua bersabar sebagaimana kesabaran orang yang meyakini akan datangnya kemudahan itu dimana setiap kesusahan ada kesenangan, mengetahui tempat kembali yang baik (akhirat), mengharapkan pahala dan sukar untuk mengingkari kebaikan.  Sebesar mana pun masalah yang kita hadapi dalam kehidupan seharian ini, kita hendaklah tetap bersabar.  Ini kerana kemenangan itu sesungguhnya akan datang bersama dengan kesabaran dan jalan keluar datang bersama kesusahan. Setiap kepahitan itu ada kemanisannya. Seperti kita ingin mengambil madu yang manis kite perlu menghadapi kepahitan jika disengat oleh lebah.  Jadi, kita haruslah bersabar dan berserah kepadaNya.  Bersabarlah dalam menghadapi ujiaNya kerana sifat sabar itu adalah indah.

            Jika kita ingin bahagia, maka terimalah dengan rela hati dan bersyukurlah akan bentuk tubuh yang Allah ciptakan untuk kita, keadaan keluarga kita, bagaimanapun keadaan fizikal kita, dan sebagainya.  Jika selama di dunia ini kita kebuluran, jatuh miskin, sentiasa dilanda kesedihan, putus cinta, menghidap penyakit yang tidak sembuh-sembuh, selalu mengalami kerugian, sentiasa dizalimi, maka bersabarlah dengan sekuat-kuat kesabaran.  Peringatkanlah diri kita pada nikmat syurga yang kekal selamanya.  Tidak rugi menjadi orang yang sabar.  Ini kerana ganjaran untuk sifat sabar ini adalah besar darjatnya.  Atas dasar itu, apabila ditimpa sesuatu mudharat, kita seharusnya bersabar. Sebaliknya, sekiranya memperolehi sesuatu manfaat (kebaikan), sebaiknya adalah bersyukur kepadaNya.
Firman Allah Taala di dalam Surah An Nahl ayat 127 (terjemahannya) :

Dan bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan jangan pula bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan.”


Sahabat sekalian,

            Sabar membezakan antara manusia dan makhluk lain. Allah menciptakan binatang yang punya nafsu semata-mata. Ia tidak dilengkapkan dengan akal, juga tidak dihiasi dengan sifat-sifat terpuji. Manakala para Malaikat pula diciptakan Allah suci dari hawa nafsu. Mereka asyik beribadah kepada Allah tanpa memerlukan sifat sabar sebagai perisai. Sedangkan kejadian kita manusia, pada awalnya hanya nafsu memerintah, sewaktu akal masih putik. Kita hanya tahu menangis bila kelaparan atau kesakitan. Sedikit demi sedikit akal mula membesar seiring dengan tumbesaran jasmani. Kemudiannya kita dilatih bersabar sedikit demi sedikit. Hinggalah kita baligh dan wajib mematuhi syariatnya.

            Bentuk-bentuk kesabaran itu terbahagi kepada beberapa perkara. Yang pertama, sabar dalam ketaatan kepada Allah. Merealisasikan ketaatan kepada Allah, memerlukan kepada kesabaran, kerana secara tabiatnya, jiwa manusia enggan untuk beribadah dan berbuat ketaatan. Jika ditinjau dari penyebabnya, terdapat tiga hal yang menyebabkan manusia sukar untuk sabar. Pertama kerana malas, seperti dalam melakukan ibadah solat. Kedua kerana bakhil (kedekut), seperti menunaikan zakat dan infaq. Ketiga kerana keduanya, (malas dan kedekut), seperti haji dan jihad.

            Yang kedua, sabar dalam meninggalkan kemaksiatan. Meninggalkan kemaksiatan juga memerlukan kesabaran yang besar, terutama kepada kemaksiatan yang sangat senang untuk dilakukan, seperti berbohong, memandang sesuatu yang haram. Kerana kecenderungan jiwa manusia ini, suka pada hal-hal yang buruk dan sia-sia.

            Yang ketiga, sabar dalam menghadapi ujian dan ujian dari Allah, seperti mendapat musibah, baik yang bersifat kebendaan atau sebaliknya seperti kehilangan harta, kehilangan orang yang dicintai dan sebagainya. Setiap manusia tidak akan lari dari ujian Allah. Allah member kita ujian dan musibah kerana Allah menyayangi kita. Itu tandanya Allah sedar kewujudan kita. Allah rindu akan rintihan kita.

            Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa setiap yang berlaku yakni kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan takdir itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudianUntuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.  Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab.
           
            Kesimpulannya disini ialah yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudharat jauh daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.  Sebenarnya Allah hendak mendidik hambanya agar bersabar dalam mencapai sesuatu dan janganlah bergopoh-gapah dalam sesuatu hal kerana ia sebahagian perbuatan iblis yang berusaha menyesatkan keturunan Nabi Adam. Dan ingatlah hanya kesabaran orang yang beriman sahaja akan berpanjangan. Peliharalah iman kita supaya sentiasa berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah agar kita tidak mudah digoda oleh iblis dan syaitan laknatullah. WaAllahu A’lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget