my entry..

get this widget here

Tuesday, September 27, 2011

Dakwah Dan Kepentingannya..(My Assignment)

“Katakanlah inilah jalan (agama) ku. Aku dan orang-orang yang mengikuti mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah-hujah yang nyata, maha suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.”
Surah Yusuf : 108

Berdasarkan ayat diatas dakwah boleh ditakrifkan dengan berbagai maksud dan makna bergantung pada seseorang individu yang memberi penjelasan dan makna dakwah itu.ini kerana ada yang berpendapat bahawa dakwah itu ialah penyampaian dan penjelasan kepada islam, ada juga yang melihat dakwah itu sebagai suatu pengajaran ilmu. Selain itu, terdapat juga orang mentakrifkan dakwah itu gabungan dan mencampurkan dua takrif diantara kefahaman tentang agama dan kefahaman tentang dakwah.  (Muhammad Abu Al-Fatah Al-Bayanuni, 1991, m/s 14)

Dakwah adalah satu proses penyampaian ajakan atau seruan kepada orang lain atau kepada masyarakat agar mempelajari dan mengamalkan ajaran agama secara sedar sehingga menghidupkan dan mengembalikan fitrah manusia agar dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Dari segi bahasa dakwah ialah panggilan, seruan atau ajakan. Dakwah berasal dari perkataan arab dalam bentuk masdar( مَصْدَر ). Berasal dari perkataan da’a yad’u ( دَعَا يَدْعُو) yang bermaksud memanggil, menyeru atau mengajak. Kalimah ini terdapat di dalam ayat-ayat al-quran sebagai contoh di dalam Surah Yusuf ayat 33 dan daripada Surah Yunus ayat 25.(Drs. Rosyad Shaleh 1977 m/s 17)

Dakwah dari segi istilah pula terdapat berbagai pendapat diantaranya ialah pendapat dari Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya Hidayatul Mursyidin mengatakan bahawa dakwah ialah mendorong manusia agar membuat kebaikan memberi petunjuk, menyuruh mereka melakukan kebaikan dan melarang kemungkaran agar mereka mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.(Drs.A. Rosyad Shaleh 1977 m/s 18 ; Budihardjo 2007 m/s 91)

Abu Bakar Zarkasyi pula mendefinisikan dakwah sebagai usaha para ulama dan orang-orang yang memiliki ilmu dalam masalah agama dan memberi pengajaran kepada masyarakat pada hal ehwal yang dapat menyedarkan mereka terhadap urusan keagamaan dan keduniaan sesuai dengan kemampuan yang dimilikinya. (Budihardjo 2007 m/s 91)

Dakwah adalah kewajiban yang patut ditunaikan oleh setiap individu baik lelaki ataupun wanita. Oleh sebab itu, islam melihat setiap individu sebagai pendakwah. Di dalam Al-Quran Surah An-Nahl ayat 125 Allah telah berfirman :

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
An-Nahl : 125

Terdapat berbagai cara atau metod untuk berdakwah. Sebagai contoh dakwah Rasul kepada kaumnya. Dialog dan perdebatan merupakan salah satu cara yang berkesan kerana dengan dialog dan perdebatan terjadinya komunikasi dua hala yang impaknya dapat dilihat secara jelas. Selain itu, melalui kuasa politik juga dakwah boleh dilaksanakan kerana kuasa politik mampu mengubah seluruh pentadbiran. Ia boleh dibuktikan ketika zaman Rasulullah. Rasulullah sebagai presiden negara mampu mengembangkan dakwah dan secara tidak langsung tersebarnya islam. (Prof. Dr. Muhammad Sayyid Thantawi 1997 m/s 146)

            Dakwah telah bermula sebelum zaman Rasulullah lagi. Iaitu pada zaman nabi-nabi terdahulu dari Nabi Adam A.S sehingga Khatimul Anbiya Nabi Muhammad S.A.W. Pada ketika itu tanggungjawab melaksanakan dakwah terletak dibahu dan diketuai oleh Nabi-Nabi Allah dan RasulNya yang telah dilantik untuk menyeru umat manusia ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran mengikut kaum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Perkembangan dakwah dapat dilihat dengan jelas pada zaman Rasulullah. Pada peringkat permulaan dakwah, Baginda menyeru dan mengajak keluarga Baginda beriman kepada Allah dahulu kemudian barulah Baginda berdakwah kepada sahabat-sahabat. Dakwah Baginda kepada keluarga dan sahabat-sahabat Baginda dilakukan secara rahsia. Apabila sebahagian dari keluarga dan sahabat Baginda mengikut seruan Baginda, strategi dakwah Baginda beralih secara terang-terangan pula.(Budihardjo 2007 m/s90). Sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah di dalam Surah Al-Hijr ayat 94 :

            “Maka sampaikan olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.”

Tanggungjawab dakwah tidak hanya terletak di bahu Nabi-Nabi dan RasulNya sahaja kerana pada zaman ini juga memerlukan seseorang yang memikul amanah ini. Bukan individu bahkan satu kelompok jemaah supaya dakwah ini menjadi satu matlamat sesebuah negara.

Bermula daripada raja sebagai pemimpin negara yang memegang tampuk pentadbiran sesebuah negara sehinggalah masyarakat dan institusi sesebuah keluarga, masing-masing mempunyai peranan yang amat penting untuk menghidupkan dakwah dimana ia perlu kepada pembentukan umat islam yang bertaqwa di zaman ini. (Amin Ahsan Islahi 1978 m/s 30)

Perlunya dakwah pada era globalisasi ini kerana manusia telah mula jauh dari landasan syariat islam. Amat penting pada kita untuk memperbetulkan persepsi masyarakat yang beragama islam supaya islam bukan hanya pada agama tetapi pada cara hidup juga. Apabila amalan dan cara hidup berpaksikan syariat islam maka kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat yang diredhai oleh Allah akan tercapai dari dakwah kita kepada Allah. (Drs. A. Rosyad Shaleh 1976 m/s 31)

Akan tetapi terdapat berbagai cabaran dalam menjalankan sesuatu dakwah seperti kurangnya kesedaran daripada individu untuk melaksanakan tuntutan dakwah.apabila kurangnya kesedaran lahirlah masyarakat yang tidak cakna tentang konsep amar maaruf  nahi mungkar. Konsep mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran ini adalah salah satu cabang dari dakwah. Dimana ia begitu penting untuk membentuk peribadi mulia seseorang muslim. (Abdul Muaz Abdul Tar 1980 m/s 7)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, beriman kepada Allah.”
Surah Ali-I’mran: 110

Maka setiap cabaran dan masalah-masalah itu perlu diselesaikan supaya ia tidak menjadi satu isu yang boleh memberi impak yang besar kepada umat islam. Setiap usaha pembangunan dan pembentukan bangsa dan negara perlulah dipimpin dengan matlamat kerana Allah dan berdakwah kepada Allah supaya tugas sebagai pendakwah itu tidak terbatas kepada a’lim u’lama sahaja. (K.H.M. Isa Anshary 1979 m/s 24)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget