my entry..

get this widget here

Sunday, January 9, 2011

Kisah Sebatang Penyapu Lidi

“Bangun semua!”  Arah ketua kelas, Fahmi kepada anak-anak buahnya apabila Ustaz Haris masuk ke dalam kelas mereka.
“Assalamualaikum murid-murid” sapa Ustaz Haris.
“waalaikumsalam Ustaz!” jawab pelajar tingkatan 5 Zuhal hampir serentak.
“Baik murid-murid sila duduk.” Perintah Ustaz Haris sambil tangannya lincah melukis gambar sebatang lidi dan sebatang penyapu lidi di papan hitam kelas itu.
“Murid-murid, apa yang dapat kamu lihat dari gambar yang ustaz lukis ini?” Tanya Ustaz Haris kepada murid-muridnya.
“Ustaz lukis satu batang lidi dan yang lagi satu macam penyapu lidi je ustaz. Ustaz nak jual penyapu ke ustaz?” jawab Atiqah.
 Atiqah memang terkenal dengan ‘keramahannya’ di dalam kelas itu. Jawapan Atiqah itu disambut dengan hilai tawa dari pelajar tingkatan 5 Zuhal. Ustaz Haris juga turut tertawa dengan soalan Atiqah itu. Tidak pernah terlintas difikirannya untuk membuat bisnes lebih-lebih lagi menjual penyapu lidi. Bagaimana pelajarnya yang seorang ini boleh berfikir sampai sejauh itu.
“Betul Atikah. Ustaz memang lukis sebatang lidi dan penyapu lidi. Tapi bukan nak buat bisnes jual penyapu. Ustaz nak bagi awak semua satu perumpamaan antara sebatang lidi dan sebatang penyapu lidi. Siapa boleh bagi ustaz perbezaan antara penyapu lidi dengan sebatang lidi?”

“Ustaz, penyapu lidi tu dari satu kumpulan batang lidi yang banyak diikat jadi penyapu. Betul tak ustaz?” kata Muaz, yang duduk di barisan ke dua dari belakang.
“Betul Muaz. Siapa lagi boleh bagi ustaz jawapan yang lain.
Sarah yang duduk di barisan hadapan menjawab. “Penyapu lidi ade banyak lidi ustaz, tapi satu batang lidi ade satu je ustaz.”
“Bagus Sarah. Ustaz suka jawapan Sarah. Penyapu lidi mempunyai banyak lidi manakala sebatang lidi hanya sekadar lidi. Begitulah perumpamaan kita dalam kehidupan ini.
“Maksud ustaz dengan kehidupan tu macam mana? Saya tak berapa faham.” Ujar Asyraf yang duduk barisan belakang kelas. Betul-betul disebelah pintu belakang kelas.
“Yela ustaz, apa kaitan kehidupan kita dengan penyapu lidi ni ustaz?” sambung Azzahra yang duduk bersebelahan Sarah pula. Tidak sabar dia ingin mengetahui perumpamaan yang ingin diberikan oleh Ustaz Haris itu.
“Begini murid-murid, kita umat Islam dituntut berusaha untuk agama dan umat islam itu sendiri. Akan tetapi jika kita berusaha secara berseorangan ibarat sebatang lidi tadi, hasilnya amat minimum. Atau dengan erti lain tidak ada hasil dan untung langsung.”
“Ustaz, boleh bagi satu contoh tak? Saya masih dalam kekeliruan ni.” Tingkah Ammar mula menunjukkan minat dengan syarahan Ustaz Haris yang sedari tadi hanya duduk diam di barisan  ketiga di tepi sebelah kiri Ustaz Haris.
“Sebagai contoh kita gunakan hanya sebatang lidi untuk menyapu surau sekolah kita ni. Boleh ke dengan hanya sebatang lidi tadi kita menyapu karpet surau berbanding kita menyapu menggunakan sebatang penyapu lidi?”
“Mesti la tak boleh ustaz.” Jawab Fahmi mewakili satu kelas.
“A’ah la ustaz, mana ada orang menyapu dengan sebatang lidi je. Bukannya boleh sapu pun. Kalau sapu pun habuk tu takkan hilang. Karpet sampai bila-bila pun tak bersih ustaz.” Sambung Atiqah pula untuk menguatkan lagi jawapan Fahmi tadi.
“Ya.. Tepat sekali. Begitulah hidup kita ini. Kita harus sentiasa bersama dan saling membantu antara satu sama lain. Dalam erti lain kita mesti amalkan konsep berjemaah. Baru la kita dapat menjalankan sesuatu kerja dengan baik dan kita akan mendapat hasilnya lebih baik dari kita melakukan sesuatu kerja secara individu. Seperti kita gunakan sebatang penyapu lidi untuk menyapu surau sekolah. Maksud ustaz dengan perumpamaan tadi ialah satu jemaah umpama beberapa batang lidi yang diikat menjadi sebatang penyapu lidi, ia lebih berhasil untuk menyapu habuk di atas karpet.” Terang Ustaz Haris.
“Ooo.....” jawab pelajar 5 Zuhal hampir serentak. Seperti pelajar tadika baru belajar huruf O sahaja lagaknya.
“Baiklah. Ustaz bagi lagi satu contoh. Antara sebatang lidi dan sebatang penyapu lidi mana yang paling mudah untuk dipatahkan?” soal Ustaz Haris setelah mendapat respon yang positif dari murid-muridnya tadi tentang konsep jemaah.
Muaz dengan segera mengangkat tangan. Dia amat bersemangat untuk menjawab soalan Ustaz Haris kali ini. “Ustaz, saya nak jawab. Sudah semestinya sebatang lidi mudah untuk dipatahkan berbanding sebatang penyapu lidi ustaz.
“Bagus Muaz.. ya sebatang lidi amat mudah dipatahkan. Seperti bila kita berseorangan. Orang lain dengan senang dapat mengalahkan kita kecuali kalau kita dalam berkumpulan. Macam sebatang penyapu lidi. Susah kita nak patahkan lidi tu bila ia dalam keadaan yang diikat. Kalau murid-murid tidak berpuas hati, ustaz syorkan buat eksperimen apabila pulang ke rumah nanti.”
Selesai sahaja syarahan Ustaz Haris, loceng berbunyi menandakan tibanya waktu balik.
‘kkkkkrrrriiiiinnngggg............’
“Setakat ini pelajaran kita, lusa akan ustaz terangkan konsep jemaah dari perspektif islam dengan lebih mendalam. Hari ini sekadar gambaran untuk kamu semua supaya boleh berfikir dengan lebih luas.” Kata Ustaz Haris mengakhiri kelasnya pada hari ini.
“bangun semua! Terima kasih Ustaz!” arah Fahmi menjalankan tugasnya.
Hmm...da lama saya karang kisah ini. Baru hari ini saya dapat menyiapkannya kerana kesuntukan masa dan tiada ilham untuk menulis ni, selain susah nak upload dalam blog kerana wireless problem. Dalam erti lain, xde mood la..bila ada idea tu berlambak-lambak datang dalam kotak fikiran ni, tapi kedatangan idea tu tak dialu-alu kan oleh waktu yang menuntut saya melakukan tugas yang lain.. apa-apa pun..terima kasih kerana sudi membaca. Ambil la yang jernih dan buang yang keruh dari kisah atau cerita yang saya tulis dalam blog ini sebagai pengajaran dan teladan untuk mengharungi lautan kehidupan yang dipenuhi ombak-ombak dugaan dan ujian dari Allah. Hiasilah ia dengan buih-buih keimanan.....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget